Sila Klik laman web atau url yang tertera di bawah

Saturday, February 6, 2010

contoh kerja kursus elemen 2 dan 3

Contoh Elemen 2

PENGHARGAAN

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam usaha menghasilkan kerja kursus ini. Penghargaan dan ucapan terima kasih yang khusus saya tujukan kepada: Guru subjek sejarah Tingkatan 3, Nama Guru Beliau telah menolong saya sejak mula menerima tugasan daripada pihak sekolah. Banyak nasihat dan bimbingan yang diberikan kepada saya selama saya melaksanakan tugasan ini. Oleh itu, saya amat berterima kasih kepada beliau. Jasanya cukuplah besar. Orang sumber yang saya temu bual, Encik. Encik ialah orang sumber yang saya temu bual. Beliau memang mahir berkenaan permainan wau. Beliau yang bekerja sebagai pegawai kerajaan dan mempunyai pengalaman dalam permainan tradisional ini kerana beliau pernah terlibat dalam penganjuran pertandingan wau kebangsaan di Terengganu. Ibu Bapa saya, Kedua-dua orang tua saya telah banyak mengeluarkan biaya untuk saya membeli bahan-bahan. Bapa saya menyediakan pengangkutan percuma untuk kami pergi ke perpustakaan. Bapa saya mempunyai kereta persendirian. Jadi mudahlah saya bergerak untuk mengumpul sumber-sumber yang saya perlukan. Selain itu, kos penggunaan internet juga di bawah tanggungan mereka.

OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini dapat memperkaya pengalaman hidup saya terutama mengajar saya kemahiran berkomunikasi dengan orang lain. Saya perlu cekap mendengar dan mencatat perbualan rakan-rakan dengan tokoh yang ditemu bual. Saya juga mendapat pendedahan tentang persediaan yang perlu dibuat sebelum menjalankan sesi temu bual. Kajian ini membolehkan saya mengetahui kepelbagaian permainan tradisional yang dimiliki serta asal-usul sesuatu permainan tradisional. Saya juga dapat mengetahui secara dekat peraturan permainan, tujuan permainan dan peralatan yang digunakan. Maklumat ini sangat penting kepada generasi muda seperti saya untuk mengetahui kekayaan khazanah budaya negara Malaysia khususnya dalam permainan tradisional.

KAEDAH KAJIAN

Kaedah menebual orang sumber. Sebelum kaedah ini dilaksanakan, saya telah meneliti kehendak tugasan. Kemudian saya telah membina soalan. Saya juga mendapatkan pandangan guru pembimbing. Setelah beliau berpuas hati, barulah saya pergi ke rumah orang sumber untuk menjalankan sesi temu bual. Saya telah mencatat, merakam dan mengambil gambar. Kaedah Penyelidikan Perpustakaan. Saya telah membuat kunjungan ke Perpustakaan Awam Wilayah Tawau. Saya cuba mencari buku-buku ilmiah yang berkaitan dengan permainan tradisional. Saya telah membuat fotocopy pada bahagian yang mengandungi bahan-bahan yang releven dengan tugasan kami untuk dibawa balik dan dibaca isi kandungannya. Kaedah Melayari Internet. Saya telah menggunakan kemudahan internet di sekolah untuk melayari laman web yang memaparkan artikel berkenaan permainan tradisional. Kami berjaya mendapatkan alamat laman web berkenaan daripada laman web carian Google dan Yahoo. Terdapat banyak maklumat yang ditemui dan kami telah memuat turun bahan-bahannya untuk dijadikan rujukan. Guru komputer telah mengajar kami cara untuk muat turun bahan tersebut.


HASIL KAJIAN

Nama Permainan Permainan wau juga dikenali dengan layang-layang. Wau dicipta dalam pelbagai bentuk dan mempunyai nama tersendiri seperti wau burng, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah dan wau barat. Perkataan “wau” dikatakan berasal dari perkataan Thailand memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut. Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja, dan tidak pula disebut bermain wau. Selain itu kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi “wau’, “wau’, “wau’ secara berirama.

Latar Belakang Wau dimainkan sejak kurun ke-15. Negeri yang mempopularkan permainan ini antaranya Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Permainan layang-layang atau wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung. Permainan ini dimainkan semenjak lebih 500 tahun yang lalu. Wau masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Musim bermain wau adalah buluh yang diraut halus yang ditampalkan dengan kertas berwarna mengikut bentuk rangka. Wau bukan sahaja dimainkan tetapi dipertandingkan yang dititikberatkan ialah kecantikan rupa, kemerduan bunyi dan tinggi serta keindahan naiknya.

Permainan wau atau pun lebih dikenali layang-layang suatu ketika dahulu lebih popular di kawasan pedalaman seperti di kawasan pantai dan kawasan lapang seperti di padang, sawah padi dan sebagainya. Kini permainan tersebut telah mulai popular dan diminati oleh pelbagai kaum termasuklah mereka yang menetap di kawasan bandar. Bukan itu sahaja, ia telah diperkenalkan hingga ke peringkat antarabangsa seperti di Pasir Gudang Kite Festivals International Guests yang diadakan pada setiap tahun. Sambutan festival ini juga sangat memberangsangkan terutamanya peserta dari luar negara.

TUJUAN WAU DIMAINKAN

Pada zaman dahulu, wau dimainkan oleh golongan rakyat sebagai tanda hiburan atau keraian.Upacara permainan wau lazimnya dilakukan selepas tamat musim menuai padi.Apabila padi habis dituai dan sawah padi habis dikerat, sawah padi akan bertukar menjadi sebuah padang yang bersih.Pada masa inilah sawah ini akan digunakan sebagai tempat diadakan pesta wau. Wau juga dimainkan oleh golongan istana sebagai hiburan memandangkan cara mendapatkan hiburan yang sangat terhad kepada masyarakat lama ini.

Ada juga pengiktirafan kepada wau apabila pertandingan wau dijadikan tradisi tahunan oleh golongan diraja dan bangsawan. Pada Mei pula, Pesta Wau yang memperlihatkan kreativiti rekaan wau tradisional tempatan dan Pesta Joran, yang juga akan diadakan di Pantai Sri Tujuh di Tumpat dan penutup acara pada bulan itu adalah Pesta Nasi 100 yang diadakan di Gelanggang Seni di sini. Wau juga banyak digunakan dalam kesenian. Corak bentuk wag juga digunakan dalam seni pertukangan perak atau filigree adalah salah satu cabang kesenian orang-orang Melayu yang amat terkenal di negeri Kelantan.

Kemahiran pertukangan logam orang-orang dipercayai telah wujud sejak zaman-berzaman, hasil pengaruh tamadun Hindu dan Islam yang memang terkenal dengan pertukangan barangan logam seperti emas dan tembaga. Bagi masyarakat yang telah mengenali seni pertukangan perak filigree atau turut dikenali dengan dawai pintal, mengakui bahawa seni perak filigree mempunyai keindahannya yang tersendiri.

Keindahan yang dimaksudkan ini bukan sekadar kehalusan ragam hiasan pada penciptaan suatu motif yang terselindung di sebaliknya menghikut daya imiginasi jiwa pencipta itu sendiri. Kebanyakan barangan filigree memaparkan peralatan perhiasan diri yang menjadi kegemaran kaum wanita.

Pelbagai motif terdapat dalam pertukangan filigree ini antaranya motif bunga-bungaan dan motif wau.Tarian Siti Wau Bulan adalah dari Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu. Tarian ini menggambarkan wau bulan yang sedang diterbangkan dengan penuh keriangan yang juga merupakan salah satu acara tradisi semasa musim menuai padi. Tarian ini ditarikan oleh penari lelaki dan perempuan dengan diiringi alat muzik tradisional seperti gendang dan seruling Selain daripada permainan wau, wau juga turut dinyanyikan dalam Dikir Barat.

Dikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ianya wujud di kalangan masyarakat biasa di kampung-kampung dan pinggir bandar. Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara. Mereka akan mengarut sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Antara lagu Dikir Barat yang terkenal ialah :-

1. Karut Selampit
2. Karut Menora
3. Karut Jenaka Mak Yong
4. Karut Wau Bulan

Contoh Lirik Lagu Wau Bulan Dalam Dikir BaratIn Formal Malay (Translation in Brackets)Eh Wau Bulan 2X(“Wau Bulan” is a specially shaped kite)Wau Bulan teraju tiga(“Teraju Tiga” describes the 3 strings attached to the body of the kite, joined to a single string for flying)Ini malam sama-sama(Tonight, all of us together)Sama-sama bersuka-ria(Together, we all have a good time).

Teknik Pembuatan Wau Tradisional.

Antara bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah wau. Selain daripada itu, kepakaran dan kemahiran juga merupakan aspek utama untuk menghasilkan sebuah wau yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan mentah, kemahiran kraftangan serta pengetahuan di dalam bidang aerodinamik.
Bagi memastikan wau yang akan dihasilkan mempunyai kualiti, bahan mentah seperti buluh terutamanya perlu dipilih dengan lebih teliti. Oleh itu terdapat beberapa petua serta pantang-larang yang terlibat semasa ingin menebang dan menyimpan buluh tersebut.

Petua dan Pantang Larang Pemilihan Buluh Mencari dan Menebang Buluh

1. Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukan di dalam semak atau dusun.
2. Pilih buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun.
3. Jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda kerana buluh tersebut mempunyai banyak kanji dan mudah diserang serangga perosak.
4. Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana mempunyai semangat yang kuat menurut kepercayaan orang tua-tua.
5. Keadaan cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk menebang buluh seperti di waktu tengahari.
6. Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih bayangnya. 7. Sebelum menebang buluh, digalakkan membaca doa dan selawat terlebih dahulu 8. Adalah lebih baik buluh yang sudah ditebang dipotong di situ juga.
9. Petua orang tua-tua di Kelantan pula semasa membawa balik buluh yang sudah ditebang, akan meninggalkan pesan kepada Sang Bubuk iaitu, “Wahai Sang Bubuk, hak aku tinggal ini adalah hak mu, hak aku wat kelik ni ialah hak aku, mu tok sah ikut akulah, mu make hok sini”.

Penyimpanan Buluh Buluh akan disimpan dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum diraut menjadi rangka wau. Biasanya tempat penyimpanan mestilah tinggi untuk mengelakkan buluh daripada dilangkah manusia.

Antara petua-petua yang digunapakai untuk memastikan buluh tersebut tahan dan kuat ialah :-

1. Buluh disimpan di dalam paya atau direndam di dalam selut.
2. Buluh ditanam di dalam pasir dan dinyalakan unggun api di atasnya selama satu jam.
3. Menyalai kepingan buluh pada bara api. Meraut Buluh Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit.

Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan.

Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :-

1. Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut dan sederhana keras.
2. Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 sentimeter dan semakin halus di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa.
3. Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga 0.5 sentimeter.
4. Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk bulan. Rautan di bahagian tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil 0.5 sentimeter untuk memudahkan ia dibentuk.
5. Selepas semua buluh diraut, proses seterusnya ialah semua bilah tersebut akan digosok pula dengan kertas pasir.

Membuat Bingkai Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang, tulang rentas sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan dipotong mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk sayap, satu keping untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor. Kepingan buluh yang hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan menandakan di tengah-tengah kepingan buluh.

Proses Mengikat Rangka Bingkai Wau
1. Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya ditanda 3 bahagian tersebut.
2. Bahagian sayap wau akan diikat terlebih dahulu
3. Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang
4. Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan bahagian tersebut seimbang di kedua-kedua belah.
5. Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap 6. Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan buluh ditaut membentuk separa bulatan pada bahagian sayap dan ekor wau. Seterunya kepingan buluh yang diraut lebih nipis dibentuk menjadi bulatan untuk diikat di tengah pinggang wau. Saiznya ditentukan dengan mengikut nisbah iaitu bersamaan dengan keluasan kepala wau.
7. Proses terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh daripada kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang. Proses Memasang Tanah Wau Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil ‘tanah’ akan dipasang pada wau.

Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan beberapa langkah :-

1. Ukur kertas dengan saiz bingkai.
2. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua sentimeter dari rangka bingkai.
3. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk ‘V’.
4. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji. Mengukur, Melukis dan Menyobek Corak Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut unik dan istimewa.

Antara langkah-langkah yang terlibat :
1. Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor.
2. Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap dengan mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor pula, corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap.
3. Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak asas bagi wau.
4. Corak akan ditampal pada kertas warna lain, biasanya warna emas dengan menyapu gam di belakang kertas corak. Gam perlu dicampur dengan air terlebih dahulu untuk elakkan daripada berkedut. Kertas bercorak akan diletakkan di atas kain lembap. Kertas berwarna diletakkan perlahan-lahan ke atas kertas corak dan kemudiannya diratakan dengan menggunakan seterika panas di atas kain lembap tadi.
5. Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi dengan kertas berlainan warna sehingga siap sepenuhnya.
6. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada bahagian tepinya sahaja. Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau.

Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan warna. Proses Membuat Serta Memasang Jambul atau Rambu Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau. Diperbuat daripada kertas ‘crepe’ yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk membentuk rambu.

Proses Membuat Serta Memasang Belalai
Menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau. Wau tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri. Warisan tradisional ini haruslah dikekalkan kerana ia adalah identiti budaya bangsa Melayu dan juga sebuah negara. Kini permainan wau mulai popular di kalangan masyarakat bandar dan tidak lagi terhad di luar bandar sahaja. Bukan itu sahaja, permainan wau ini juga telah dimodenkan dan mula memasuki peringkat antarabangsa. Selain wau, layang-layang juga amat diminati sebagai salah satu aktiviti pada waktu terluang.

CARA BERMAIN WAU
Kawasan yang sesuai.
Wau hendaklah dimainkan di kawasan yang lapang seperti di tepi pantai, di kawasan sawah padi atau di padang kawasan tepi pantai merupakan kawasan yang paling sesuai untuk menerbangkan wau. kawasan yang tidak sesuai bermain wau ialah dikawasan yang tidak lapang, banyak bangunan, pokok, tiang elektrik atau tiang telefon.

3 unsur yang mempengaruhi kenaikan wau Tekanan angin
Apabila tekanan angin di permukaan wau semakin kuat, maka kemampuan untuk naik tinggi semakin meningkat.

Daya tarikan graviti
Tarikan graviti ialah daya yang menarik wau ke bawah.

Daya seretan.
Wau akan mengundur ke belakang apabila permukaan wau mendapat tekanan yang tinggi. Hal ini akan mewujudkan daya seretan. Permainan wau tradisional Melayu adalah dimainkan menggunakan satu tali sahaja. Penggunaan satu tali membolehkan wau ini mudah diterbangkan dan dikawal. Terdapat dua cara melancarkan atau menaikkan wau iaitu, pelancaran jarak dekat dan pelancaran jarak jauh. Tali yang digunakan adalah tali tangsi.

Teknik menaikkan wau jarak dekat.
Teknik ini sesuai bagi wau yang bersaiz kecil dan ringan. Hanya seorang sahaja diperlukan untuk melancarkan teknik ini. Pemain berdiri membelakangkan angin. Sebelah tangan pemain akan memegang badan wau dan dihadapkan ke arah angin. Sebelah lagi tangan memegang gelung tali. wau dilepaskan perlahan-lahan sehingga wau naik tinggi ke udara.

Mengawal penerbangan
Tiupan angin yang tidak meneru menyebabkan pemain perlu mengawal penerbangan wau. Mengawal penerbangan wau penting untuk mengelakkan wau jatuh ke tanah atau mengelakkan tali wau terputus. Terdapat dua kemungkinan tiupan angin, iaitu angin beriup lemah dan angin bertiup kuat. Apabila angin bertiup lemah, pemain mesti menggulung tali wau supaya wau tersebut tidak jatuh ke tanah.

Teknik menurunkan wau.
Menurunkan wau memerlukan dua pemain, iaitu seorang penarik tali dan seorang lagi penggulung tali. Penarik tali ialah orang yang menarik talu wau manakala penggulung tali ialah orang yang menggulung tali wau yang telah ditarik oleh penarik tali. Permainan wau laga merupakan perlawanan memutuskan tali wau pihak lawan. Ia memerlukan kepantasan, tumpuan dan kemahiran yang tinggi. Bahagian tali wau ini disalut dengan serpihan kaca halus.

Contoh elemen 3

ESEI
Kepentingan sukan dan permainan khususnya dalam melahirkan modal insan yang patriotik telah menjadi salah satu agenda negara untuk dikembangkan pada segenap lapisan masyarakat. Kerajaan telah menyedari bahawa sukan dan permainan adalah saluran yang paling berkesan untuk melahirkan generasi yang akan sentiasa menghargai dan mengamalkan tradisi budaya dan bangsa.

Sukan merupakan alat yang penting bagi mewujudkan perasaan bersatu padu. Permainan sukan seperti sepak takraw atau bola sepak memerlukan ramai pemain. Oleh itu, sikap bersefahaman dan bermuafakat adalah perlu untuk mengukuhkan pasukan dalam memperoleh kemenangan. Masyarakat juga dapat mewujudkan perasaan muhibah atau semangat bermasyarakat kerana sesuatu permainan ini biasanya akan dihadiri oleh pelbagai bangsa.

Selain itu, kegiatan sukan tidak mengenal batas kaum, daerah, negeri mahupun negara. Oleh itu, setiap rakyat yang mewakili negara dalam peringkat antarabangsa, akan disemai perasaan sedia berkorban untuk bangsa dan negara serta bertanggungjawab untuk mengharumkan Malaysia di mata dunia. Setiap orang daripada pelbagai lapisan masyarakat juga boleh menjadi penyokong pasukan negara untuk melahirkan rasa cinta akan bangsa dan negara Malaysia.

Di samping itu, sukan dan permainan telah menjadi aktiviti kokurikulum sekolah dan menjadi satu pembelajaran teras. Dengan cara bermain, secara tidak langsung pelajar akan dididik untuk bermuafakat, tolong-menolong, berlaku adil dan bertimbang rasa. Konklusinya, melalui sukan dan permainan, setiap modal insan yang patriotik dapat dibentuk.
Modal insan yang bersemangat patriotik dapat ditanam dalam diri saya melalui aktiviti sukan dan permainan seperti permainan tradisional wau.Permainan wau telah mewujudkan rasa cinta dan bangga terhadap bangsa dan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia,saya sentiasa berbangga dengan masyarakat zaman dahulu yang berjaya mencipta sebuah permainan tradisional yang bukan sahaja popular malah turut meningkatkan martabat negara kita.

Selain itu,saya bersyukur menjadi warganegara Malaysia.Keunikan Malaysia yang terkenal dengan pelbagai tarikan seperti wau berjaya menarik minat warga asing untuk melihat sendiri keunikan yang terdapat di negara kita.

Di samping itu,semangat kekitaan dapat diterapkan dalam diri saya dan masyarakat.Hal ini dapat digambarkan melalui sikap kerjasama dan bersatu padu sewaktu wau dimainkan kerana permainan wau memerlukan beberapa orang untuk menaikkannya di udara.Sikap tolong menolong dapat dibentuk sewaktu menghasilkan wau.

Melalui festival wau dan pertandingan wau,sikap berdisiplin dapat dibentuk dalam diri kita.Hal ini kerana banyak peraturan yang perlu dipatuhi dalam acara pertandingan wau.Setiap peserta yang memasuki pertandingan ini perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan sekaligus dapat menjadikan peserta seorang yang lebih berdisiplin.

Sehubungan dengan itu,negara Malaysia yang aman lagi makmur akan menjadi sebuah negara yang adil dan bertimbang rasa terhadap rakyatnya.Ini kerana juri bagi pertandingan wau akan berlaku adil untuk memilih pemenang bagi sesuatu pertandingan itu.

Bukan itu sahaja,negara kita akan menjadi sebuah negara yang menghargai dan sentiasa mengamalkan tradisi,adat turun-temurun dan budaya nenek moyang kita supaya tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas. Walaupun pada masa kini banyak permainan lain yang canggih dan moden dipopularkan,namun permainan wau tetap dimainkan oleh masyarakat hari ini. Oleh itu,sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti sukan dan permainan dapat melahirkan modal insan yang bersemangat patriotik.

4 comments:

  1. Ini adalah contoh elemen 2 dan tiga. Tidak semestinya contoh yang lengkap

    ReplyDelete
  2. Pelajar perlu merujuk kepada format yang betul seperti dlm kertas soalan sebelum menyiapkan elemen satu, elemen dua dan elemen tiga.

    Tanya guru sejarah anda

    ReplyDelete
  3. TAHUN NI ADE TAK

    ReplyDelete